Monday, November 29, 2010

Evolusi...

“Tapi saya rasa lecturer saya dapat yakinkan saya bahawa Teori Evolusi itu ada benarnya. Rasa resah betul masa dalam kelas”, kata Nazri, salah seorang pelajar yang mengikuti kursus bersama saya. “Soalnya sekarang, apakah Teori Evolusi itu memang bertentangan dengan Islam? Apakah pendirian Islam terhadap Teori Darwin? 100% bertentangan atau bagaimana?”, saya bertanya kembali kepada beliau. [...]


“Tapi saya rasa lecturer saya dapat yakinkan saya bahawa Teori Evolusi itu ada benarnya. Rasa resah betul masa dalam kelas”, kata Nazri, salah seorang pelajar yang mengikuti kursus bersama saya.

“Soalnya sekarang, apakah Teori Evolusi itu memang bertentangan dengan Islam? Apakah pendirian Islam terhadap Teori Darwin? 100% bertentangan atau bagaimana?”, saya bertanya kembali kepada beliau.

”Hmm, bab ni susah nak jawab”, katanya.

”Ustaz rasa, cabaran sekarang ialah, kita tidak boleh pukul rata. Kita kena bezakan di antara Charles Darwin, Darwinism, Neo-Darwinism, Social-Darwinism dan Teori Evolusi itu sendiri”, saya sekadar memberi cadangan.

Nazri mengangguk.

”Memang banyak bezanya. Tapi bila diterjemah kepada bahasa Melayu, semuanya dibakulkan jadi ’Teori Darwin’. Itu sahaja”, sambungnya.

”Itu masalahnya. Pada pandangan ustaz, sikap pukul rata penceramah-penceramah mencela Teori Darwin, akan mendatangkan masalah, khususnya kepada orang macam anta, yang ambil Biologi untuk peperiksaan A-Level. Ramai yang sangka Teori Darwin dan evolusinya…. 100% bertentangan dengan Islam”, saya meneruskan cerita.

”Hujah mereka mudah. Kalau percaya tentang Teori Darwin, maknanya kita percaya yang atuk nenek kita dulu ialah beruk! Itu sahaja”, Nazri menyokong.

Kami sama-sama termenung. Ia bukan isu yang mudah.


TEORI EVOLUSI ITU LUAS

Kefahaman kita tentang teori evolusi bukanlah terhad kepada mahu menjawab soalan siapa / apa bapa kita. Ia juga bukan sekadar untuk mencela penjajahan Barat yang disandarkan kepada kepercayaan struggle of the fittest golongan Social Darwinist.

Kebetulan di dalam kelas Muslim Historiography saya bersama Assoc. Prof. Dr. Ahmed Elyas Hussein, kami telah berbincang tentang persoalan yang lebih mendasar terhadap perlunya kepada pendirian yang betul terhadap Teori Evolusi ini, iaitu persoalan ”Permulaan Sejarah”.

Ia membabitkan pengujian kita terhadap teori evolusi biologi dalam menjawab persoalan penciptaan Adam dan kehidupan di bumi sebelum Adam.

Hal ini penting, untuk mengungkaikan keresahan kita apabila kemajuan kajian DNA, telah membantu saintis untuk menghitung kadar mutasi struktur hidupan. Kebolehan ini mengukuhkan lagi usia fosil yang ditemui dan ini mencabar kesimpulan simplistik kita terhadap ”Persoalan Sejarah” yang saya maksudkan tadi.

Setakat ini, saintis telah mengesan kira-kira 15 spesis awal manusia. Tetapi sulit untuk dikategori dan ditentukan bagaimanakah hubungan di antara spesis ini dan bagaimanakah setiap satu spesis itu berakhir. Spesis seawal Australopithecine yang dianggarkan berusia 5 ke 2 juta tahun dahulu, membawa kepada spesis Neanderthal yang dianggarkan berusia 200,000 ke 24,000 tahun yang lalu, kesemuanya ini menimbulkan persoalan berkaitan penciptaan Adam, dan pendirian Islam terhadap evolusi itu sendiri. Apakah Adam itu hidup seawal era Australopithecine atau bagaimana?

Saya mungkin tidak berkeahlian dalam membicarakan tentang hal ini, khususnya melalui saluran Biologi, namun saya ingin berkongsi dengan pembaca beberapa perkara yang boleh membantu pembaca membuat penilaian awal tentang hal ini.

PANDANGAN ISLAM TERHADAP PENCIPTAAN MANUSIA

Saya datangkan beberapa ayat al-Quran berkenaan dengan asal usul manusia:

Firman Allah SWT di dalam al-Quran:


Dia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar (Al-Rahmaan 55: 14)

Lihat juga ayat-ayat di 22:5, 23:12, 30:20, 32:7, 37:11

Allah SWT juga menyebut:


Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (Al-Tin 95: 4)

Mohamed Asad dalam menafsirkan ayat ini mengatakan bahawa: Allah SWT telah menciptakan manusia di dalam bentuk yang paling sempurna dan dikurniakan kualiti-kualiti yang positif pada fizikal dan mentalnya sesuai dengan tujuan yang perlu dilaksanakan oleh makhluk yang diciptakan ini.

Lihat juga ayat-ayat di 8:2 dan 7:8

Allah SWT turut menjelaskan di dalam al-Quran bahawa seluruh manusia adalah dari keturunan Adam. Firman-Nya:


Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. (Al-Nisaa’ 4: 1)

Dan manusia itu diciptakan Allah dengan maksud menjadikan mereka Khalifah di muka bumi:


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya” (Al-Baqarah 2: 30)

bersambung esok......

No comments:

Post a Comment